fbpx

Tragedi helikopter TLDM: PM zahir takziah, sifatkan kehilangan besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH helikopter operasi maritim (HOM-AW139) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Kompleks Sukan TLDM Lumut semalam. -MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden helikopter terhempas di Lumut, Perak selain menyifatkan tragedi itu sebagai satu kehilangan besar.

Katanya, negara berdukacita dengan tragedi menyayat hati dan meruntun jiwa membabitkan nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut hari ini.

“Takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dengan doa agar diberi kekuatan dalam menghadapi musibah ini.

“Tragedi ini ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara,” katanya menerusi ciapan di Facebook hari ini.

Katanya, beliau turut dimaklumkan satu siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas.

“Mendoakan semoga roh semua yang terkorban dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa mereka.

“Semoga Tuhan mengasihi mereka dan memberi tempat dan kedudukan yang istimewa di-Sisinya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dalam hantaran di Facebook turut menzahirkan ucapan takziah berhubung kejadian itu.

“Takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter TLDM pagi ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI