GEORGE TOWN – Ahli keluarga Pegawai Waran II (PW II) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Noorfarahimi Mohd. Saedy, yang terkorban dalam nahas dua helikopter bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak, pagi tadi menyifatkan wanita itu seorang yang sentiasa mengambil berat terhadap keluarga.
Adik iparnya, Nur Shaqirah Mat Isa, 34,berkata, arwah yang merupakan anak keempat dari lima beradik itu terlalu rapat dengan semua ahli keluarga termasuk ipar duai.
“Kiranya kalau ada apa-apa isu (berbangkit) dan sebagainya, dia (Noorfarahimi) akan jadi ‘kepala’. Kalau ‘plan’ (rancang) nak ke mana-mana pun sama (akan bertindak sebagai ketua),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beritahu Nur Shaqirah, dia kali terakhir berjumpa dengan arwah kakak iparnya itu pada Sambutan Aidilfitri, baru-baru ini memandangkan dia tinggal di Jitra, Kedah manakala Noorfarahimi pula menetap di Lumut.
Difahamkan, Norfarahimi telah berkhidmat hampir 20 tahun sebagai anggota TLDM dan akan bersara awal mulai tahun depan.
Difahamkan juga, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Selama, Perak untuk dikebumikan selepas semua urusan berkaitan selesai.
Terdahulu, seramai 10 kru dilaporkan terkorban dalam nahas dua helikopter TLDM bertembung kira-kira pukul 9.45 pagi tadi.
Dua helikopter yang terdiri model HOM-AW139 dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.
Pesawat HOM-AW139 dilaporkan terhempas di dalam kawasan Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas dekat kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut. -KOSMO! ONLINE