KOTA KINABALU – “Perkhabaran empat anggota Skuadron 503 yang berpangkalan di TLDM Teluk Sepanggar maut dalam nahas helikopter di Lumut, Perak pagi tadi bagai mimpi.
“Susah nak gambarkan perasaan sejurus menerima berita tentang insiden itu.
“Saya dan rakan-rakan berita begitu terkejut. Air mata keluar seperti tiada henti,” kata Pegawai Perhubungan Awam TLDM Teluk Sepanggar, Leftenan Komander Mohd Fadzhil Salleh.
Mohd Fadzhil berkata, kehilangan anggota yang diketuai Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli, yang turut bertindak sebagai juruterbang sebuah daripada helikopter pasukan itu amat dirasai.
Menurut Mohd Fadzhil, allahyarham Komander Muhammad Firdaus dikenali sebagai seorang rakan yang baik, memiliki perwatakan ceria dan suka menolong orang.
Menurutnya, beliau sangat rapat dengan Pegawai Memerintah, Komander Muhammad Firdaus Ramli.
“Saya amat mengenali arwah Muhammad Firdaus. malahan saya ada membawa media untuk tinjauan udara menggunakan helikopter pada hari raya baru-baru ini.
“Masa itu, helikopter dikendalikan oleh Komander Muhammad Firdaus, helikopter itulah yang terbabit insiden pagi tadi di Lumut,” katanya.
Difahamkan, semua ahli keluarga pegawai dan anggota Skuadron 503 yang berpangkalan di TLDM Teluk Sepanggar, dibawa ke Kuala Lumpur petang ini.
Mohd Fadzhil memaklumkan pihaknya ketika ini sedang mengurus untuk membawa keluarga anggota yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak itu.
Semua ahli keluarga anggota dan pegawai yang terkorban dibawa menaiki pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada pukul 1.20 tengah hari tadi. -KOSMO! ONLINE.