fbpx

Tragedi helikopter TLDM: Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penyelamat bomba sedang mengeluarkan mangsa-mangsa terkorban dalam tragedi yang berlaku pagi tadi.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, hari ini.

Dalam satu kenyataan rasmi di Instagram, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih di atas kehilangan 10 kru terlibat dalam nahas berkenaan.

“Saya dan Raja Zarith berasa amat sedih di atas kehilangan wira-wira negara dalam tragedi ini.

“Al-Fatihah dan salam takziah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” ujarnya.

Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda juga mahukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya berhubung kejadian.

Agong, Permaisuri rakam ucapan takziah buat keluarga mangsa tragedi.

Pagi tadi Kosmo! melaporkan TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dua helikopter terhempas sehingga menyebabkan 10 kru maut, pagi tadi.

TLDM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter Fennec TLDM telah terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.32 pagi tadi.

Ujarnya, insiden ini melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM.

“Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman,” katanya.

Tambah kenyataan itu, TLDM memohon orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI