SIK – “Adik peluk saya erat dan sebut itu adalah pertemuan terakhir kami ketika dia sekeluarga datang beraya di rumah saya pada hari raya pertama lalu”
Demikian kata Noryani Tamadun, 50, kakak sulung kepada Allahyarham PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun, 36, yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pagi tadi.
Menurutnya, dalam pertemuan itu juga, arwah adiknya banyak menyebut perkara yang pelik sehingga menyebabkannya rasa risau.
“Saya berkata-kata dalam hati kenapa arwah sering cakap ia merupakan pertemuan terakhir kami, rakaman gambar terakhir kami dan kali terakhir juga dia dapat makan kuih siput serta lauk air tangan saya.
“Memang saya risau dan luahkannya kepada suami, namun suami kata jangan fikir bukan-bukan kerana adik hanya bergurau sebelum hari ini saya dikejutkan dengan tragedi yang turut meragut nyawa adik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung, di sini hari ini.
Katanya, arwah adik juga sempat mengajaknya untuk melihat penerbangan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.
“Saya kata tak dapat pergi sebab anak-anak sekolah selain suami tidak dapat memandu kereta jarak jauh,” ujarnya sambil memberitahu arwah juga sempat menghulurkan RM100 kepadanya pada hari raya itu.
Sementara itu, katanya, dia dimaklumkan tentang kejadian oleh adik keduanya sebelum melihat sendiri video nahas tersebut dan melihat nama adik bongsunya itu dalam senarai mangsa terkorban.
“Saya terduduk sebaik diberitahu adik tidak dapat diselamatkan. Memang sedih sebab arwah adik bongsu yang memang manja dengan saya memandangkan ibu dan ayah kami baru meninggal dunia tahun lalu.
“Isteri arwah turut menghubungi saya untuk meminta padangan lokasi untuk mengebumikan arwah. Saya cadangkan arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Muhtahdin di Sik Dalam, di sini kerana arwah ibu dan ayah dikebumikan di situ,” katanya.
Tambahnya, arwah meninggalkan seorang isteri, Norsyuhada, 37, yang bekerja sebagai seorang guru dan dua anak perempuan berusia enam dan 10 tahun.
“Arwah bertugas di Sabah manakala keluarganya tinggal di Seri Iskandar, Perak. Arwah adik pernah beritahu dia mahu pencen dua tahun lagi dan merancang untuk menetap di rumah peninggalan arwah ibu dan ayah di Kampung Tanah Hitam, di sini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE