fbpx

Tiada lagi Dr. Azra, Ellie restui hubungan Azri Iskandar dengan usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Merestui hubungan bekas suami dengan kekasih baharunya, pelakon Ellie Suriaty memuji keperibadian baik usahawan yang dikenali sebagai Datuk Noora Kay.

Ujar Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar, 54, dia sentiasa mendoakan kebahagiaan pasangan itu.

“Semoga Allah SWT permudahkan urusan kalian berdua. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

“Awak sangat cantik luar dan dalam Datuk Noora Kay. Saya tumpang gembira Azri Iskandar,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram Story.

Dalam hantaran tersebut pengarah filem Penanggal itu berkongsi beberapa foto bersama ahli perniagaan berkenaan serta anak-anak menikmati makan malam di sebuah hotel.

Menerusi perkongsian lain pula kelihatan produser, Datuk Ayu Puteh turut menyertai pasangan berkenaan serta Ellie menjamu selera.

Begitupun, identiti mahupun latar belakang wanita berstatus ibu tunggal itu tidak diperincikan dengan lebih mendalam.

Daripada carian, Noora menjalankan perniagaan butik serta mesin dobi layan diri yang turut dibuka di Brunei.

Sementara itu, Noora pula meluahkan rasa syukur atas perjumpaan keluarga yang disifatkan mengukuhkan lagi silaturahim.

“Mengeratkan ikatan kekeluargaan kami semalam. Kerana Allah Ta’ala. Sesungguhnya kami hanya bergantung hanya padaMu Yarob. Permudahkan segalanya.

“Terima kasih kepada Kak Ell (Ellie) dan kawan baik saya, Datuk Ayu. Saya sayangkan anda berdua hingga ke syurga Allah SWT,” ujarnya.

Sebelum bersama Noora, Azri, 56, mendedahkan sudah bertunang dengan wanita bernama Dr. Azra Diera di Perlis, pada Jun tahun lalu.

Namun dia dianggap tidak siuman disebabkan enggan menunjukkan wajah tunangnya itu sejak mereka bergelar kekasih.

Malah sekitar Oktober 2023, pelakon Sheriff itu menyatakan hubungan dengan Dr. Azra semakin renggang.

Ellie dan Azri bercerai pada 17 Mei lalu selepas 19 tahun berumah tangga dan perkahwinan mereka dikurniakan dua anak iaitu Azrell Omar, 19 dan Nur Azreen, 14. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI