fbpx

Strok haba: Anggota APM meninggal dunia selepas koma 44 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APM Pulau Pinang meninggal dunia semalam akibat strok haba selepas koma sejak 9 Mac lalu ketika menjalani latihan di Port Dickson. - IHSAN APM

SEREMBAN – Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang meninggal dunia semalam akibat strok haba selepas koma sejak 9 Mac lalu ketika menjalani latihan di Port Dickson.

Pengarah APM Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata, Allahyarham Muhammad Afiq Ammar, 25, sebelum itu dimasukan ke Hospital Port Dickson sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJS) selepas Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, Allahyarham terpilih sebagai calon pemilihan anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) dan telah memulakan latihan di Port Dickson bersama calon lain di seluruh negara.

“Bagaimanapun, semasa sesi larian dijalankan, Allahyarham telah rebah dan dikejarkan ke Hospital Port Dickson bagi rawatan lanjut. Selepas hari raya, keadaan kesihatan Allahyarham semakin merosot dan dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban.

“Allahyarham kemudiannya disahkan meninggal dunia selepas 44 hari menjalani rawatan di HTJS dan kami menguruskan jenazahnya untuk di bawa balik ke kampung halaman arwah di Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Nazri berkata, jenazah Allahyarham turut disolatkan di Surau Pejabat Negeri Pertahanan Awam (PNPA) Negeri Sembilan pukul 11 malam tadi sebelum dikebumikan di Kampung Terang, Balik Pulau, Pulau Pinang.

“Keluarga Allahyarham juga yang kita tempatkan di sebuah homestay di Port Dickson sejurus kejadian tersebut sehinggalah semalam,” ujarnya.

Ketika diminta mengulas mengenai kejadian berkenaan, beliau menyatakan aktiviti fizikal tersebut telah dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan serta turut disediakan kemudahan stesen air.

“Bagaimanapun, kita kini mengurangkan aktiviti fizikal dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti mengadakan latihan di tempat redup,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI