BESUT – Seorang penghantar barang menemui ajal akibat lemas selepas motosikal Yamaha Ego LC dinaikinya hilang kawalan lalu terjunam ke dalam sebatang tali air di Kampung Gerai, Jerteh di sini malam tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 8.15 malam itu, mayat mangsa, Wan Muhammad Khuzaimie Abu Sepian, 24, ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, sewaktu kejadian, mangsa dikatakan dalam pulang ke rumah keluarganya di Kampung Gerai Tua, Jerteh di sini dari sebuah kedai runcit berhampiran.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha Ego LC yang dinaiki mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terbabas terjunam ke dalam tali air.
“Mangsa dihanyutkan sejauh satu kilometer sebelum mayatnya ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira sejam kemudian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Abdul Rozak berkata, pemeriksaan pegawai perubatan di lokasi kejadian mengesahkan Muhammad Khuzaimie meninggal dunia akibat lemas.
Tambah beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE