fbpx

‘Orang luar tak faham hal dalam kain suami isteri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IPPO Hafiz bertindak menghantar notis amaran kepada pemfitnah agar berhenti meninggalkan komen yang mengelirukan orang ramai.

AMPANG – Enggan kemelut rumah tangga semakin tegang dengan campur tangan pihak ketiga, penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz mengambil tindakan tegas menghantar notis amaran kepada individu yang cuba menabur fitnah.

Ujar Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz, 34, notis itu telah diberikan kepada pihak terlibat menerusi peguam syarie yang mewakilinya, Fakhrul Azman Abu Hassan pada Sabtu lalu.

“Mewakili defendan, saya (peguam) minta sebarang kenyataan di media sosial dihentikan agar hal ini tidak diperbesar-besarkan.

“Kami juga sudah berikan notis kepada beberapa pihak yang memuat naik kenyataan di media sosial.

“Biarlah mahkamah yang tentukan sebarang isu yang timbul. Jika hal menjadi makin besar, anak guam saya pun akan stres,” kata Fakrul Azman.

Peguam itu ditemui pada sesi prosiding sebutan kedua tuntutan nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Ampang, hari ini.

Dalam masa sama, penyanyi Kekal Bahagia itu turut mendedahkan tertekan dihambur cacian netizen dalam media sosial susulan kenyataan fitnah pihak tertentu.

“Pihak ketiga (kakak) mungkin tidak faham cerita dalam kain suami isteri. Jadi, lebih baik kita lakukan ini (beri notis) agar semuanya berhenti beri komen dan netizen tidak salah tafsir.

“Saya dan keluarga isteri baik-baik sahaja kerana ikatan kekeluargaan antara kami tidak boleh diputuskan.

“Sejujurnya sesiapa pun akan stres dengan tohmahan sebab itu saya ambil jalan terbaik selesaikan semua di mahkamah,” katanya.

Paling penting kata Ippo, dia berharap agar peminat dapat membezakan antara hal peribadi dengan kerjaya selain tidak berhenti menyokongnya.

Sebelum ini, timbul dakwaan seorang wanita dipercayai kakak kandung Ippo memuat naik kenyataan menerusi aplikasi TikTok.

Wanita terbabit mendakwa adik iparnya iaitu Fara Roslan telah dipisahkan dengan anak bongsu mereka sejak Februari lalu.

Terdahulu, pada 12 Mac, Ippo hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Ampang bagi sebutan pertama kes nusyuz yang difailkan terhadap isterinya, Fara Roslan.

Tuntutan itu dibuat selepas Ippo mendakwa isterinya tidak pulang ke rumah sejak November tahun lalu.

Sejak rumah tangga dilanda badai, anak sulung pasangan itu, Yusuf, 5, dijaga Fara manakala anak kedua, Ibrahim, 2, tinggal bersama Ippo.

Prosiding sebutan semula permohonan nusyuz akan berlangsung pada 24 Jun depan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI