PUTRAJAYA – Jabatan Bantuan Guaman (JBG) disarankan supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada kes jenayah sahaja sebaliknya lebih menyeluruh untuk kes-kes lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya akan mengadakan satu persidangan kebangsaan berkaitan bantuan guaman bagi menentukan hala tuju baharu JBG.
“Jadi kita kena membuat perubahan dasar pada elemen bantuan guaman kes sivil dan jenayah memandangkan ketika ini hanya kes jenayah diberi tumpuan utama.
“Kebiasaanya, JBG terbabit dalam kes reman. Justeru, kita kena buat kajian bersama dengan Majlis Peguam Malaysia sama ada bantuan guaman itu diberikan pada peringkat mana termasuk ketika masuk mahkamah, perbicaraan, pertuduhan atau reman.
“Inilah yang saya nak JBG pada hari ini memainkan peranan tersebut. Takkanlah bantuan guaman setakat sibuk kes cerai berai syariah je,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Majlis Santunan Mesra Aidilfitri, di sini hari ini.
Katanya, hala tuju baharu bantuan guaman itu penting bagi memastikan perbelanjaan kerajaan sama ada kes jenayah atau sivil dilihat berbaloi.
Azalina berkata, sejak 2011, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sudah mengagihkan bantuan guaman mencecah RM83 juta sejak ia ditubuhkan.
Pada masa sama, Azalina memuji inisiatif pendamping guaman bagi kes membabitkan kanak-kanak yang diperkenalkan JBG. – KOSMO! ONLINE