PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat, angin kencang dan ribut petir di seluruh negara termasuk Selangor dan Kuala Lumpur sehingga 6 petang ini.
MetMalaysia menerusi kenyataannya berkata, amaran cuaca buruk dijangka melanda hampir keseluruhan kawasan di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Terengganu.
“Hujan lebat, angin kencang dan ribut petir dijangka tertumpu di negeri-negeri Pantai Barat melibatkan Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin), Melaka dan Johor (Segamat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).
“Selain itu, cuaca buruk sama turut dijangka melanda utara Semenanjung melibatkan Kedah (Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), dan Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan),” ujarnya.
Tambah MetMalaysia, hujan lebat, angin kencang dan ribut petir juga diramalkan berlaku di Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Raub).
“Cuaca lembap dan hujan juga dijangka di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong serta beberapa kawasan di dalam wilayah Sandakan, Sabah melibatkan Tongod, Telupid, Kinabatangan dan Sandakan. – KOSMO! ONLINE.