TAIPEI – Sekurang-kurangnya dua gempa bumi kuat melanda Taiwan awal pagi ini, hanya beberapa minggu selepas salah satu gempa paling kuat dalam sejarah pulau itu yang mengorbankan 17 orang, lapor laman berita Fox Weather.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS), gempa bumi berukuran 6.1 magnitud berlaku pada pukul 2.26 pagi (waktu tempatan) berhampiran pantai timur pulau tersebut. Ia terletak kira-kira 27 kilometer di selatan bandar Hualien, pada kedalaman kira-kira 10.7 kilometer.
Gempa bumi kedua pula bermagnitud 6, berlaku kira-kira 6 minit kemudian di sepanjang pantai timur, kira-kira 12.8 kilometer di selatan barat daya bandar Hualien, pada kedalaman yang sama.
Menurut Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) milik AS, gempa bumi itu tidak menyebabkan ancaman tsunami kepada Hawaii, Pantai Barat AS atau mana-mana wilayah Amerika.
Agensi Meteorologi Jepun berkata, perubahan kecil paras laut dijangka berlaku untuk pulau-pulau selatan negara itu yang berhampiran dengan Taiwan tetapi tiada kerosakan dijangka berlaku.
Pada 3 April lalu, gempa bumi paling kuat melanda Taiwan dalam tempoh hampir 25 tahun.
Gempa bumi bermagnitud 7.4 itu berlaku berhampiran kawasan yang sama di mana gegaran terjadi pada hari ini. – AGENSI