PETALING JAYA – Tular baru-baru ini video yang memaparkan momen seorang remaja lelaki mengazankan sepupunya yang baru lahir sehingga mencuri perhatian netizen dengan meraih lebih 1.4 juta tontonan di TikTok dalam masa dua hari.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok @irfanshahhh, kejadian tersebut berlaku pada 16 April lalu di Hospital Slim River, Perak.
Muhammad Irfan Shah Azlan Isa, 18, berkata, itu adalah pengalaman kali pertamanya mengazankan anak keempat kepada ibu saudaranya.
“Yang saya azankan itu anak maknjang saya. Anak nombor empat. Masa maknjang saya sakit nak bersalin, saya dengan mak cik saya yang tolong hantarkan ke hospital.
“Mulanya ingat malam itu akan bersalin, rupanya belum lagi, ada la lebih kurang dua tiga hari maknjang saya keluar masuk dewan bersalin dan wad biasa dan setiap hari saya akan temankan opah, ibu saya atau mak cik saya pergi ke hospital tunggu perkembangan maknjang.
“Kemudian, masa hari bersalin itu (16 April) hanya ada saya dan opah dekat hospital. Keluarga yang lain kebanyakkannya sedang berkerja,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Menurut Muhammad Irfan, menjengah ke ruangan komen video yang tular itu, ramai menyangka ibu saudaranya telah melahirkan anak luar nikah disebabkan ketiadaan bapa bayi tersebut.
“Ramai yang salah anggap ingatkan maknjang saya ini lahirkan anak luar nikah. Sebenarnya maknjang saya dengan suami dia ada masalah dan mereka tidak tinggal bersama lagi.
“Saya kesian tengok sepupu (bayi) saya dan nasib maknjang saya. Lagipun, memang dah rancang dari awal yang saya akan azankan , sebab takut pak cik saya yang lain tengah bekerja waktu maknjang bersalin.
“Saya juga selalu berulang-alik hospital untuk teman san lawat maknjang sebab kami memang rapat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@irfanshahhh Alhamdulillah , umur 18 tahun dah dapat azankan baby , semoga awak kuat mcm mama awak ye sayang , semoga menjadi anak yang soleh besar nanti , abang ngah and semua family sayang awak . ❤️ #xyzbca #fyp ♬ original sound – irfanshahhh