fbpx

[VIDEO] Tak perlu berdebat isu biduanita – Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Nurhaliza berkata, biarlah urusan pemilihan siapa layak mendapat gelaran Biduanita Negara diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkaitan untuk membuat penilaian. - Foto IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Meledak isu siapa layak raih gelaran Biduanita Negara dalam media sosial, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza enggan ambil pusing memandangkan tujuan utama pembabitan dalam karier nyanyian adalah menghiburkan peminat.

Menyifatkan gelaran tersebut sebagai bonus, namun Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 45, berkata, gelaran tersebut bukanlah sesuatu yang dikejar.

“Berdirinya Siti di sini sebagai anak seni, sebenarnya lebih kepada menghiburkan serta berjuang untuk minat yang saya ada.

“Saya tidak berjuang untuk mendapatkan gelaran. Gelaran itu akan datang tepat pada waktunya. Itu sahaja yang saya hendak beritahu.

“Kalau boleh, saya tidak mahu fikir mengenai isu biduanita ini, tidak payah dan tidak perlu pun,” katanya kepada Kosmo! Online.

Enggan serabut, pelantun lagu Sehebat Matahari itu berkata, biarlah urusan pemilihan siapa layak mendapat gelaran Biduanita Negara diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkaitan untuk membuat penilaian.

“Untuk saya sendiri, tidaklah melihat isu ini sebagai satu perkara yang perlu diperdebatkan. Kalau dah rezeki, sampai masa dan betul-betul rezeki saya, dapatlah.

“Kalau tiada pun, saya tak rasa apa-apa sebab cinta saya lebih kepada kerja-kerja menghiburkan. Orang yang menonton, melihat persembahan dan menghargai lagu-lagu saya, itu lebih memberi makna.

“Bukan saya bermaksud tidak menghargai itu, tetapi perjuangan utama saya adalah terhadap karier,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yayasan Nurjiwa, kelmarin.

Topik siapa layak digelar Biduanita Negara ketiga menjadi hangat apabila peminat mencadangkan gelaran tersebut diberi kepadanya selepas kejayaan penganjuran konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil, bulan lalu.

Difahamkan juga saranan itu mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang memaklumkan fasa awal cadangan penganugerahan gelaran berkenaan kepada Siti masih dalam proses perbincangan dalaman.

Sebelum ini, gelaran Biduanita Negara iaitu penganugerahan kepada anak seni oleh Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan hanya pernah diberikan kepada dua penyanyi iaitu Allahyarham Puan Sri Saloma pada 1978 dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini (2006).

Selain Siti, Datuk Sheila Majid dan Ziana Zain juga disebut-sebut antara bintang yang layak diberi gelaran Biduanita Negara. – KOSMO! ONLINE.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI