fbpx

Syukur Along sudah sedar – Ustazah Farah Cie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Farah (tiga dari kri) bersama keluarga pengawal peribadinya di Hospital Cyberjaya. Foto Facebook Farah Cie

PETALING JAYA – Seorang wanita, Ustazah Farah Cie mengucapkan rasa syukur apabila pengawal peribadinya yang menjadi mangsa tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang sudah sedarkan diri semalam.

Berita itu dikongsi oleh wanita tersebut menerusi satu hantaran di Facebooknya semalam.

“Syukur hari ini terima berita Along (panggilan kepada pengawal peribadi) sudah sedarkan diri. Terima kasih ya Allah!

“Alhamdulillah beberapa hari lepas, saya berkesempatan untuk berjumpa isteri Along di Hospital Cyberjaya.

“Ketika itu, Along masih tidak sedarkan diri dan pihak hospital tidak membenarkan orang luar menziarah Along kecuali ahli keluarga. Perjumpaan itu bersama isteri, ibu ayah Along, adik Along yang ketiga dan Tuan Rashid,” tulisnya.

Menurut Farah, mangsa merupakan seorang pekerja yang bertanggungjawab dan mementingkan keluarga walaupun dia sibuk bekerja bagi mendapatkan pendapatan sambilan.

Malah, Farah berkata, pengawal peribadinya itu juga merupakan bapa kepada tiga anak dan bakal menimang cahaya mata keempat tidak lama lagi.

“Along orangnya sangat mementingkan kekeluargaan dan merupakan individu yang sentiasa mengambil berat perihal keluarga.

“Along rajin bekerja sambilan bagi menyara keluarganya dan sangat ringan tulang dalam membantu isterinya,” katanya.

Farah memberitahu, pengawal peribadinya juga perlu menjaga anak sulung, Adam yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).

“Kebiasaannya, Along yang akan mengangkat Adam untuk urusan membersihkan badan. Apabila Along sakit, isterinya tidak larat untuk mengangkat anaknya yang kini berumur 13 tahun.

“Apabila isteri Along ke hospital, emaknya yang akan menjaga anak-anak Along di rumah. Ayah Along selalu berpesan kepada saya jika ada jemaah atau sahabat yang ke Mekah, minta tolong doakan Along di depan kaabah,” katanya

Tambah Farah, pihaknya akan membuka tabung kecemasan untuk membantu keluarga pengawal peribadinya itu dalam masa terdekat.

“Saya mewakili The Mahabbah menyampaikan sumbangan buat ahli keluarga Along dan mari kita berdoa agar kesihatannya kembali pulih semula.

“Pada masa hadapan, kami akan buka tabung kecemasan untuk bantu keluarga Along. Mohon doakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI