fbpx

Sultan Mizan titah kerajaan Terengganu perkasa kerjasama dengan Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Mizan (kanan) menyampaikan Titah Perasmian Sidang DUN Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan kerajaan negeri agar memperkasakan lagi jalinan kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan demi impak yang lebih positif kepada kesejahteraan rakyat negeri tersebut.

Baginda bertitah, kerajaan negeri mesti bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi menjayakan perancangan cadangan projek-projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang bakal berakhir tahun hadapan.

“Seterusnya, kesinambungan perancangan hendaklah diteruskan bagi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang akan bermula pada tahun 2026.

“Perancangan dan tumpuan yang teliti bagi perkara ini pastinya memberikan impak secara terus terhadap kesejahteraan rakyat Beta,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di sini hari ini.

Sultan Mizan juga bertitah agar kerajaan negeri Terengganu membuat perancangan serta pengurusan kewangan bersistematik secara kondusif sesuai dengan matlamat mencapai nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sekurang-kurangnya 3.5 peratus.

Baginda bertitah, kerajaan negeri memerlukan pelaksanaan aliran terbalik atau ‘reverse trend’ bagi merancang pengurusan kewangan secara efektif menghadapi cabaran ekonomi semasa
bagi mencapai sasaran itu.

“Perkasa jalinan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan, rancang pelan strategik penjanaan pendapatan baharu dan kukuhkan sektor penyumbang kepada aktiviti ekonomi.

“Kerajaan Beta juga hendaklah menyusun strategi jangka pendek, sederhana dan panjang secara komprehensif bersama jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan di Terengganu,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI