fbpx

Rakyat Malaysia dibawa pulang jika konflik Iran-Israel bertambah teruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan kerja di Kem Erskine di Kuala Kubu Baharu, hari ini.

HULU SELANGOR – Kerajaan akan mengambil apa sahaja tindakan untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Iran, Jordan dan Lubnan termasuk membawa mereka pulang ke tanah air sekiranya konflik Iran-Israel bertambah teruk.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagaimanapun setakat ini belum ada maklumat yang sahih dan tepat berhubung konflik yang sedang berlaku antara Iran dan Israel.

“Kita pun tidak tahu sumber dan berita yang benar-benar sahih. Kalau lihat tindak balas konon dron dari Israel (menyerang) di kawasan terdapat pusat-pusat nuklear Iran dan semua dron itu berjaya ditembak jatuh, tetapi tiada (konflik) lebih daripada itu.

“Israel tidak nyatakan apa-apa. Amerika Syarikat juga tidak nyatakan apa-apa. Kita hanya dengar daripada TikTok, jadi kita pun tidak boleh nak beri ulasan kerana maklumat tiada yang tepat.

“Tetapi apa pun kalau ada berlaku konflik lebih teruk, tentunya kerajaan Malaysia akan mengambil apa sahaja tindakan untuk memastikan rakyat kita berada dalam keadaan selamat dan terhindar kalau betul ada peperangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama warga Kem Erskine di Kuala Kubu Baharu, dekat sini hari ini.

Mohamed Khaled menjelaskan, buat masa ini Kementerian Pertahanan bergantung kepada maklumat diterima daripada Wisma Putra termasuk peranan yang perlu dimainkan oleh Angkatan Tentera ( ATM).

“Daripada segi ATM pula nak bawa balik rakyat Malaysia kena tengok logitisk dan laluan. Saya percaya kalau ini berlaku dan pada setiap masa barisan hadapan adalah Kementerian Luar dan baru beritahu apa peranan kita (ATM) boleh buat.

‘Ketika ini saya percaya Kementerian Luar akan kumpul (maklumat) rakyat Malaysia, ada di mana dan sebagainya dan mungkin akan digalakkan mereka berhubung dengan kedutaan kita di sana supaya dapat pantau pergerakan mereka,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan, kerajaan sedang melakukan pelbagai usaha untuk menjamin kebajikan anggota ATM dalam aspek perumahan termasuk melalui Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR).

Jelas beliau, projek itu menyediakan rumah untuk dibeli oleh anggota ATM pada harga antara RM150,000 hingga RM250,000 kerana antara cabaran dihadapi mereka selepas bersara adalah memiliki rumah.

Selain itu, kata beliau, tahun ini kerajaan memperuntukkan RM400 juta untuk penyelenggaraan seluruh rumah kakitangan ATM di 48 kem melibatkan sebanyak 28,000 unit rumah.

“Kita tidak mahu mereka ketika berkhidmat diganggu dengan berfikir tentang keadaan keluarga tinggal di rumah bocor dan sebagainya.

“Kawasan ini (Kem Erskine) kita akan salurkan RM596,000 yang mana untuk rumah kakitangan RM448,000 dan unit kediaman untuk blok lelaki dan wanita sebanyak RM147,500,” katanya.

Sementara itu, pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama warga Kem Erskine, seramai 19 pelajar sekolah rendah yang merupakan anak anggota tentera Kem Erskine menerima Sumbangan Pendidikan Madani berjumlah RM50 secara ‘one-off’ ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian bantuan kebajikan RM300 secara ‘one-off’ oleh Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) kepada 10 penerima dalam kalangan anggota atau waris yang menghidap penyakit kronik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI