KLANG – Seorang lelaki yang diburu selepas meragut dan mencederakan seorang gadis di Jalan Persiaran Raja Muda Musa di sini berjaya dicekup di Pekan Kuah, Langkawi semalam.
Penahanan ke atas suspek berusia 24 tahun yang juga bekas banduan itu dilakukan pada pukul 4.15 petang
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, sewaktu tangkapan dilakukan, suspek sedang makan di sebuah kedai di Pekan Kuah.
“Suspek dipercayai hanya menunggang motosikal untuk melarikan diri ke Langkawi sebelum berjaya ditangkap polis.
“Semakan mendapati suspek baru keluar penjara atas kesalahan dadah awal bulan ini selain memiliki lima rekod kes jenayah dan dadah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini hari ini.
Hoong Fong menambah, polis merampas beberapa barangan kes dan suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.-KOSMO!ONLINE