KUALA LUMPUR – Pelabur antarabangsa mengiktiraf bahawa ketika ini adalah masa yang tepat untuk mengadakan pelaburan di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keyakinan ditunjukkan barisan pelabur asing itu adalah bersandarkan kepada kestabilan kepimpinan Kerajaan Perpaduan menerusi tadbir urus yang baik, selain sifat pro-perdagangan dan pendirian neutral oleh Malaysia.
“Saya gembira kerana pelabur antarabangsa mengiktiraf bahawa masa untuk melabur di Malaysia adalah tepat. Ini memenuhi permintaan rakan dagangan pada masa yang berpolarisasi.
“Pengumuman hari ini juga datang daripada pencapaian luar biasa tahun lepas, pelaburan asing yang diluluskan berjumlah RM188 bilion, (yang datang) dari setiap bahagian dunia.
“Ini telah mencerminkan pergerakan dalam aktiviti rantai nilai yang lebih tinggi, kerana dunia menunjukkan keyakinan terhadap kemampuan tenaga kerja kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sempena Sidang Kemuncak KL20 2024 di sini, hari ini.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan beberapa pelaburan dalam usaha merancakkan lagi industri syarikat pemula di Malaysia termasuk pelaburan RM3 bilion dalam ekosistem Asia Tenggara dan Malaysia di bawah Inisiatif Pelaburan ASEAN.
Jelasnya jumlah pelaburan berkenaan meliputi Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), dan Blue Chip Venture Capital.
Dalam masa sama, Anwar berkata, penubuhan pejabat dan dana baharu di ibu negara melibatkan 12 firma antarabangsa yang canggih.
“12 firma yang diumumkan hari ini ialah firma antarabangsa yang canggih dengan aset di bawah
saiz pengurusan melebihi berbilion-bilion ringgit dengan rekod prestasi yang baik supaya syarikat pemula Malaysia mampu berjaya di peringkat global,” katanya. – KOSMO! ONLINE