MARANG – Kira-kira 100 nelayan berada dalam dilema ekoran masih tidak dapat turun ke laut walaupun Monsun Timur Laut sudah berakhir bulan lalu ekoran muara Sungai Merchang di sini semakin cetek.
Salah seorang nelayan, Mohd. Ariffin Jusoh, 56, mendakwa, beting-beting pasir yang banyak di muara sungai tersebut amat berbahaya buat bot-bot mereka.
“Bot kami tidak dapat keluar ke laut ekoran beting pasir itu dan jika ditolak secara manual, ia bukan sahaja boleh merosakkan bot, malah dikhuatiri mengancam nyawa.
“Sebenarnya projek mendalamkan muara Sungai Merchang telah diluluskan kerajaan dan sepatutnya siap Disember tahun lalu, namun kontraktor dilantik gagal menyiapkannya mengikut jadual ditetapkan,” dakwanya ketika ditemui di Merchang di sini semalam.
Mohd. Ariffin mendakwa nelayan-nelayan tempatan bercadang untuk membantu kontraktor terlibat untuk turut sama-sama membantu mengatasi masalah beting pasir berkenaan.
Dakwanya, niat mereka agar inisiatif tersebut dapat mempercepatkan lagi kerja-kerja mendalamkan muara Sungai Merchang tersebut.
“Kami telah menghantar surat rasmi baru-baru ini dan sedang menunggu maklum balas pihak kontraktor berkenaan.
“Jeti nelayan Merchang ini sangat penting kerana bukan sahaja digunakan nelayan tempatan, malah beberapa perkampungan berhampiran seperti Kampung Tok Fakir dan Gong Balai,” jelasnya.
Seorang lagi nelayan, Mohd. Ali Abu Bakar, 53, pula mendakwa, rata-rata nelayan Merchang sudah tidak tahan lagi ketiadaan pendapatan ekoran hampir enam bulan tidak turun ke laut sejak permulaan Monsun Timur Laut pada bulan Oktober lalu.
“Menangkap ikan satu-satu sumber pendapatan kami untuk menyara keluarga.
“Simpanan pun semakin berkurang menyebabkan kami terpaksa mengikat perut,” katanya.
Mohd. Ali berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri mereka baru-baru ini pun sekadar ala kadar sahaja.