PORT DICKSON – Seramai 600 petugas Tabung Haji (TH) akan digerakkan ke Arab Saudi bagi menjayakan perjalanan operasi haji tahun ini.
Pengarah Eksekutif, Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kesemua mereka akan ke Madinah dan Mekah bagi menyiapkan semua kemudahan termasuk pejabat dan klinik untuk menerima jemaah haji dari tanah air bermula pada 9 Mei ini.
“Alhamdulillah, setakat ini semua persiapan telah dilaksanakan dengan baik contohnya daripada segi penginapan dan pengangkutan dan penyediaan makanan, semuanya sudah sedia untuk terima jemaah haji.
“Pada masa yang sama di sini, proses visa telah pun berjalan dan mencapai tahap memuaskan, begitu juga persiapan pengangkutan dan penerbangan untuk jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci, semua sudah bersedia, hanya tunggu masa iaitu pada 9 Mei nanti bagi penerbangan pertama yang membawa jemaah haji,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Sijil Program Eksekutif Pembimbing Ibadat Haji (EPIH) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Syed Saleh menasihatkan para jemaah haji Malaysia untuk tidak bimbang dan was-was berkaitan konflik di Asia Barat ketika ini.
“Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi akan memberikan tumpuan dan penekanan kepada keselamatan jemaah haji, sudah tentu aspek keselamatan akan dilihat supaya jemaah haji yang datang datang dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna.
“Saya harap jemaah haji kita supaya tidak risau dan jangan fikir terlalu jauh, apa yang penting dalam masa yang tinggal beberapa minggu sahaja lagi sebelum berangkat ke Tanah Suci, buat persiapan secukupnya untuk pergi ke Tanah Suci dan apabila berada di sana tumpulah perhatian kepada ibadat,” katanya.-KOSMO! ONLINE