fbpx

Model seksi, Puiyi dakwa ditipu rakan bisnes lebih RM4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ms Pui Yi bersama peguam Mahendren (kanan) ketika sidang akhbar berhubung kes penipuan oleh rakan kongsinua sehingga kerugian kira-kira RM4.3 juta di George Town, hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang model seksi yang juga pempengaruh sensasi, Ms Pui Yi atau Siew Puiyi, 26, menfailkan tuntutan saman sivil terhadap rakan perniagaan berhubung urusan cukai pendapatan sehingga kerugian kira-kira RM4.3 juta, dua tahun lalu.

Pernyataan tuntutan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini menerusi peguam, K. Mahendran dan P. Vaasudevan.

Pui Yi berkata, tuntutan sivil terhadap rakan kongsi yang dikenali sebagai Mentos yang juga pengarah syarikat pemasaran, PY Empires Sdn. Bhd. itu setelah didakwa memperdayanya untuk menyerahkan semula wang tersebut.

“Tindakan sivil yang saya failkan ke atasnya (Mentos) adalah untuk mendapatkan sejumlah wang yang ditipu olehnya. Beliau telah menipu saya dengan menjanjikan yang dia dapat menyelesaikan isu cukai pendapatan saya dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Saya telah mempercayainya dan telah menyerahkan jumlah yang lebih kurang RM4.3 juta kepadanya.

“Seterusnya, saya mendapati beliau tidak menyelesaikan masalah cukai pendapatan saya. Disebabkan tindakan beliau, saya telah mengalami kerugian,” katanya pada sidang akhbar di pejabat peguamnya di Jalan Green Hall di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Pui Yi yang berasal dari Kuala Lumpur itu memberitahu, satu laporan polis juga telah dibuat terhadap lelaki berusia 29 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) pada 24 Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Mahendran berkata, kes sivil itu telah difailkan pihaknya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam bagi menuntut ganti rugi yang dihadapi anak guamnya dengan nilai lebih kurang RM4.3 juta, kos dan ganti rugi lain yang bersesuaian.

Pui Yi merupakan salah seorang pelakon dalam filem kontroversi yang turut dibintangi oleh Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Namron, dan Harris Annuar.

Tahun lalu, Pui Yi menerusi akaun TikToknya telah menawarkan biasiswa pendidikan kepada pelajar yang memerlukan dengan jumlah keseluruhan AS$1,000,000 bersamaan RM4.3 juta.

Dia yang dikenali dengan penampilan seksinya dilaporkan berkata, biasiswa yang ditawarkan itu bertujuan untuk membantu pelajar kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI