MELAKA – Negara akan ketinggalan jika rakyat terus membahas perkara remeh dan tidak memberikan tumpuan kepada hal ‘pokok’ termasuk perkembangan lapangan sains, matematik serta jurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, minat yang ditunjukkan oleh para pelabur dalam industri itu pada ketika ini bakal membuka kira-kira 30,000 peluang pekerjaan melibatkan bidang teknologi maklumat, digital, kejuruteraan dan semikonduktor.
Katanya, justeru itu tumpuan golongan ibu bapa dan generasi muda khususnya anak-anak Melayu perlulah lebih tertumpu kepada kebolehpasaran yang diwujudkan.
“Maka tumpuan kepada ibu bapa termasuk anak-anak Melayu mestilah di lapangan sains, matematik dan ini termasuk TVET yang diusahakan secara gigih oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri) untuk meningkatkan keupayaan mereka.
“Saya benar-benar mengharapkan ada perubahan sikap dan minda, kalau tidak kita akan ketinggalan kerana kita hanya bertempur dalam hal-hal yang titik bengik, berlarutan bergaduh dalam hal-hal yang kecil, meninggalkan perkara pokok,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada pentadbiran kerajaan Melaka yang berjaya menarik pelabur asing termasuk dari Jerman. – KOSMO! ONLINE