JAKARTA – Sepasang pengantin di Indonesia merealisasikan impian perkahwinan berkonsep alam sekitar bagi mengurangkan pembaziran makanan, pembungkusan dan sisa lain, lapor portal berita Wolipop.
Dengan konsep perkahwinan lestari, majlis pasangan itu menghidangkan makanan dalam bekas rotan, malah ada yang dibalut menggunakan daun pisang.
Terdapat juga bekas untuk membuang sisa makanan yang diperbuat daripada rotan, lengkap dengan penerangan mengenai penjagaan alam sekitar.
Tetamu yang hadir boleh mengetahui kategori sisa makanan untuk dibuang seperti plastik, kadbod dan sisa organik lain.
Pihak tuan rumah turut menyediakan cenderahati unik berupa bahan mentah seperti kacang dan sayur-sayuran.
Kebanyakkan hidangan di majlis itu pula terdiri daripada makanan tradisional seperti ubi kayu, rojak dan nasi bungkus daun jati.
Video konsep perkahwinan lestari itu tular dan mendapat lebih 1.9 juta tontonan di aplikasi TikTok.
“Semoga saya dapat melaksanakan konsep perkahwinan seperti ini juga,” komen seorang netizen.
“Apabila semuanya diletakkan dan digunakan mengikut fungsinya, di situlah kesedaran mula lahir,” komen seorang pengguna media sosial lain. – Agensi