fbpx

K2

Hana sedia hadapi cabaran kerjaya perhubungan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANA merupakan pelajar perhubungan awam di UiTM Shah Alam, Selangor.

AIDILFITRI merupakan saat terindah untuk diraikan oleh setiap insan bersama keluarga dan sanak saudara.

Sambutan hari lebaran tanpa mencium tangan ibu bapa merupakan satu perkara yang amat menyedihkan bagi perantau yang jauh dari insan tersayang.

Menurut pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Nur Khalisa Hana Mohd. Khalid, dia tidak dapat membayangkan beraya tanpa ibunya, Hazmah Saruan, 58, dan bapanya, Mohd. Khalid Ibrahim, 68, yang menetap di Pontian, Johor.

“Pada saya, Aidilfitri merupakan perayaan bagi umat Islam setelah berpuasa selama sebulan semasa Ramadan.

“Hari Raya Aidilfitri juga merupakan masa untuk keluarga dan sahabat berkumpul bagi mengeratkan silaturahim antara saudara-mara.

“Sebagai anak bongsu daripada empat adik-beradik, saya belum pernah lagi beraya berjauhan daripada ibu dan bapa.

“Sebagai anak yang belum berkahwin di dalam keluarga, saya akan sentiasa beraya bersama ibu bapa,” katanya.

Gadis yang mesra disapa Hana itu memaklumkan, pada tahun ini, dia mempunyai tiga pasang baju raya yang terdiri daripada warna fuchsia pink, brick orange dan baby blue.

Gadis cantik berusia 25 tahun itu berkata, selain memakai baju raya yang cantik, Aidilfitri adalah masa untuk bertemu rakan-rakan menerusi amalan ziarah-menziarahi antara satu sama lain.

HANA

Menyentuh tentang budaya memberi duit raya, Hana berkata, amalan itu merupakan satu tradisi yang popular pada Hari Raya Aidilfitri dan ia merupakan salah satu cara memeriahkan lagi suasana di hari raya.

“Bagi kebanyakan orang, pemberian duit raya adalah cara untuk memberi keriangan kepada kanak-kanak dan ahli keluarga yang lebih muda.

“Pada saya, budaya ini perlu dilakukan secara berpada-pada bagi memastikan tiada unsur menyusahkan kepada pihak yang memberi,” katanya.

Ujarnya, tradisi kunjung-mengunjung pada sambutan Syawal tahun ini amat meriah dengan kehadiran keluarga daripada sebelah ibu dan ayah.

Katanya lagi, setiap kali hari raya, rumahnya akan menjadi tempat untuk saudara-mara jauh dan dekat berkumpul.

“Memang ramai sampai tidak terlayan dibuatnya. Tetamu yang hadir dihidangkan makanan yang popular di kampung saya.

“Saya sendiri sangat suka makan hidangan raya di setiap rumah yang saya kunjungi.

“Antara makanan kegemaran saya adalah sambal kacang daging, rendang daging dan sambal goreng Jawa.

“Di kampung saya memang wajib ada lauk raya seperti ayam masak merah, burasak, sambal goreng Jawa dan rendang daging,” ujarnya.

Hana berkata, selepas bercuti panjang, dia akan kembali meneruskan latihan praktikal di Johor.

HANA meraikan hari lebaran bersama ahli keluarganya di Pontian, Johor.

Dia yang aktif bermain bola jaring memaklumkan, sesuai dengan kursus yang diambil di UiTM, dia bercita-cita menjadi pengurus perhubungan awam pada suatu hari nanti.

“Sebagai seorang pelajar perhubungan awam, bidang ini menawarkan pelbagai peluang kerjaya yang menarik, terutamanya dalam era digital ini di mana komunikasi dan reputasi organisasi semakin penting.

“Walaupun tiada jaminan kerjaya kekal pada kerjaya masa depan dalam mana-mana bidang, namun perhubungan awam menawarkan prospek cerah dengan permintaan yang terus meningkat,” katanya.

Gadis yang suka membuat kek sebagai hobi itu berkata, setiap bidang pasti mempunyai cabaran tersendiri.

Ujarnya, sebagai seorang pelajar perhubungan awam, cabaran kerjaya dalam dalam bidang itu melibatkan pelbagai aspek.

“Antara aspek tersebut adalah untuk memelihara reputasi dan imej pelanggan atau organisasi yang merupakan tanggungjawab utama dalam bidang perhubungan awam.

“Cabaran ini termasuk menangani krisis, menguruskan kontroversi dan memberi maklum balas secara efektif terhadap isu-isu sensitif,” ujarnya.

Peminat penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan pelakon, Shukri Yahaya itu berkata, generasi muda perlu mahir dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk bekerja dengan lebih efisien.

Justeru katanya, AI mampu memberi manfaat kepada bagaimana teknologi digital tersebut digunakan.

“AI sendiri adalah alat yang neutral, ia tidak baik atau buruk.

“Apa yang penting adalah bagaimana manusia menggunakan dan mengawalnya.

“Dari segi kebaikan, AI memiliki potensi besar untuk menyumbang kepada kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, pendidikan, penyelidikan sains, perindustrian dan banyak lagi.

“Ia dapat membantu dalam meningkatkan ketepatan dan kecekapan dalam banyak proses serta membuka peluang baharu yang tidak dapat dicapai sebelum ini,” ujarnya.

Bagi memberi motivasi dalam diri, dia memaklumkan, moto kehidupannya adalah ‘terus maju dengan kebaikan’.

Dia percaya bahawa setiap langkah kecil menuju kebaikan dan kejayaan adalah sangat bernilai.

“Dalam kehidupan ini, kita mungkin menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan.

“Namun, dengan kebaikan hati, kita boleh mengatasi cabaran tersebut dan terus maju ke arah matlamat kita,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI