fbpx

Fakta tidak tepat: Tengku Zafrul mohon kebenaran fail afidavit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul.

KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memohon kebenaran memfailkan afidavit bagi memperbetulkan fakta tidak tepat dalam afidavit Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Titah Adendum Datuk Seri Najib Tun Razak.

Permohonan itu dibuat firma guaman, Cecil Abraham & Partners mewakili Zafrul menerusi surat bertarikh hari ini yang dihantar kepada Umi Salamah Mohamad yang juga Setiausaha kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh.

Dalam afidavit yang diikrarkan, surat itu mengatakan ia secara khusus berhubung pengataan yang terkandung dalam Afidavit Tambahan No 3 itu yang diikrarkan Timbalan Perdana Menteri berkenaan pada 9 April lalu.

“Memandangkan terdapat ketidaktepatan fakta yang perlu diperbetulkan menurut bidang kuasa sedia ada mahkamah ini menurut Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

“Untuk rekod, kami juga selanjutnya diarahkan oleh anak guam kami untuk menyatakan bahawa anak guam kami tidak mengambil pendirian dalam merit pertikaian antara pihak-pihak. Anak guam kami hanya ingin memastikan fakta-fakta dikemukakan dengan tepat di hadapan mahkamah ini secara neutral,” katanya.

Sebelum ini dalam satu kenyataan media, Tengku Zafrul memaklumkan akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi memfailkan afidavit membetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit difailkan Ahmad Zahid berkaitan Titah Adendum itu.

Sejurus selepas itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalan kenyataannya berkata pihaknya akan membawa perkara berkenaan kepada perhatian pihak mahkamah.

Sebelum ini, dalam afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, oleh Tengku Zafrul ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, pada 30 Januari lalu.

Titah Adendum itu supaya Najib menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, Tengku Zafrul menunjukkan kepadanya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang diambil gambar dan diimbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Jun ini untuk keputusan permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI