Oleh NORFARHIZA MOHD ATAR
LIPIS – Seorang pemandu lori cedera parah apabila treler muatan besi tetulang yang dipandunya terjunam ke bawah cerun berketinggian kira-kira 12 meter di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran simpang Chegar Perah di sini tengah malam semalam.
Difahamkan pasukan bomba yang dikejarkan ke lokasi kejadian mengambil masa hampir enam jam bagi mengeluarkan mangsa, Mohd Fakrulrazi Che Mohamad, 24, yang tersepit di bawah kepala lori dan timbunan besi.
Kejadian tersebut juga turut mengakibatkan kelindan lori, Mohd Fahmi Ikmal Che Mohamad, 19, mengalami kecederaan ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis, Haslizan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.43 tengah malam tadi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari BBP Lipis dengan dibantu anggota bomba dari Pusat Mencari dan Menyelamat Gunung Tahan (MOSAR), Merapoh dan BBP Gua Musang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori treler muatan besi tetulang yang terjunam ke bawah cerun.
“Terdapat seorang lelaki dewasa berjaya keluar dari lori dan seorang lagi lelaki dewasa berada di bawah kepala lori treler dan timbunan besi,”katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu pasukan bomba terpaksa mengalihkan dan memotong besi yang dibawa treler berkenaan bagi membuka jalan untuk anggota bomba mengeluarkan mangsa.
“Kita terpaksa menggunakan kaedah manual iaitu memotong besi satu persatu dengan menggunakan peralatan khas iaitu ‘power unit’ dan ‘circular saw’. Ia mengambil masa hampir enam jam bagi operasi menyelamat.
“Ini bagi memastikan mangsa yang tersepit di bawah timbunan tidak terkena besi sekaligus mengelakkan kecederaan yang lebih serius,”katanya.-KOSMO! ONLINE