PUTRAJAYA- Menteri Luar , Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan ada pihak tertentu cuba mengalihkan perhatian dunia daripada isu kekejaman rejim Israel ke atas Palestin.
Katanya, kelompok itu dilihat mahu memperbesarkan isu serangan balas Iran kepada Israel bagi memastikan komuniti antarabangsa melupakan hal di Palestin.
“Ada pihak sengaja mahu dunia meminggirkan isu Palestin dan inilah kita (Malaysia) tidak mahu berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Aidilfitri Wisma Putra di sini.
Iran menerusi sekutunya di Iraq, Lebanon dan Yemen melancarkan serangan Operasi Janji Benar pada 13 April lalu ke atas beberapa sasaran strategik ketenteraan di wilayah Israel.
Ia sebagai balas dendam terhadap pengeboman rejim Zionis ke atas Kedutaan Besar Iran di Damsyik, Syria yang membunuh 16 orang termasuk komander tenteranya pada 1 April lalu. – KOSMO! ONLINE