JOHOR BAHRU – Kastam negeri ini berjaya mematahkan cubaan tiga lelaki membawa keluar minuman keras tidak bercukai dari Forest City, Gelang Patah untuk dipasarkan di bandar raya ini.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamed berkata, dalam serbuan pukul 10 malam Isnin lalu itu, pihaknya mengejar tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang membawa penuh muatan arak.
Ketiga-tiga kenderaan tersebut berjaya ditahan di sekitar Lebuhraya Iskandar Puteri dan Jalan Utama Kampung Baru Senai, dekat sini.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan tersebut membawa muatan minuman keras yang ditutup menggunakan kain hitam. Dua pemandu kenderaan, iaitu lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an berjaya ditahan, namun seorang lagi pemandu berjaya melarikan diri.
“Sebanyak 14,400 tin minuman keras yang disita bernilai RM38,410 dan anggaran cukai terlibat berjumlah RM104,915. Turut disita ketiga-tiga kenderaan tersebut dengan anggaran nilai RM150,000,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam, di sini hari ini.
Sazali berkata, hasil siasatan mendapati sindiket itu menggunakan kenderaan persendirian menggunakan nombor pendaftaran palsu serta jenayah itu dilakukan pada waktu malam.
“Dua lelaki yang ditahan telah dilepaskan di bawah Seksyen 116 (5) Akta Kastam 1967 dengan wang jaminan berjumlah RM10,000 setiap individu. Usaha mengesan pemilik kenderaan turut giat dilakukan,” katanya sambil memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.
Dalam kes berlainan, Sazali memaklumkan, pihaknya juga berjaya menumpaskan sindiket pembuatan arak yang menjadikan rumah teres di Skudai sebagai lokasi pemprosesan.
Semasa serbuan pada pukul 1 tengah hari 2 April lalu, premis terbabit berkunci dan tidak berpenghuni.
“Hasil pemeriksaan rapi oleh pasukan telah mendapati terdapat sejumlah arak pelbagai jenama yang dipercayai tidak berkastam dan melanggar peruntukan Akta Kastam 1967.
“Hasil pemeriksaan turut menjumpai sejumlah tong berisi cecair disyaki alkohol, botol kosong, penutup botol, kotak kosong, label jenama minuman, setem kastam palsu dan alatan memproses dan membotolkan arak yang dipercayai melanggar Akta Eksais 1976,”katanya.
Tambahnya, anggaran nilai arak yang disita adalah sebanyak RM 41,391 dan anggaran duti yang terlibat berjumlah RM111,720.
“Peralatan pembuatan arak dianggarkan bernilai RM5,000. Kesemua arak tidak berkastam dan peralatan tersebut telah dirampas dan disita untuk tindakan lanjut dan usaha mengesan pemilik premis sedang giat dilakukan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.- KOSMO! ONLINE