fbpx

‘Luar kedai kopi, masuk dalam rupanya pusat judi’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMAR (tengah) bergambar bersama warga PDRM Johor selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri di IPD Iskandar Puteri, Johor Bahru.

ISKANDAR PUTERI – Kebanyakan pusat judi di negeri ini telah menukar modus operandinya dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit dan kedai kopi bagi mengelak kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, hasil risikan yang dijalankan serta maklumat disalurkan orang awam, kegiatan perjudian di negeri ini berjaya dilumpuhkan.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, Op Dadu Khas yang telah dilancarkan secara serentak di seluruh negeri ini telah membuat serbuan ke atas 87 premis menjalankan kegiatan judi ‘online’ dan loteri awam tanpa lesen.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan sejak Rabu hingga semalam itu berjaya menahan seramai 87 individu termasuk lapan warga Indonesia.

“Hasil serbuan yang dilakukan, Kita dapati mereka telah menukar modus operandi mereka dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit dan kedai kopi.

“Bagaimanapun, kegiatan itu tetap terbongkar hasil risikan dan maklumat yang disalurkan orang awam. Seramai 87 individu terdiri daripada 69 lelaki dan 18 wanita berumur dalam lingkungan 18 hingga 64 tahun berjaya ditahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis barangan seperti 26 unit printer pelbagai jenama, 86 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 112 helai kertas catitan dan wang tunai berjumlah RM12,612.

Sejak awal tahun sehingga semalam, sebanyak 811 serbuan Op Dadu telah berjaya dilakukan melibatkan seramai 1,143 orang tangkapan dan rampasan wang tunai berjumlah RM297,457. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI