CHANGLUN – Lima buah kelas di tingkat tiga bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Laka Selatan di sini musnah dalam kebakaran, hari ini.
Kebakaran yang disedari pengawal keselamatan itu tidak melibatkan mangsa kerana berlaku ketika semua murid sudah pulang dari sekolah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.09 petang.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) mengarahkan pasukan bomba BBP Bukit Kayu Hitam ke lokasi kejadian serta turut meminta bantuan BBP Arau, Perlis.
“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran didapati membabitkan kelas di tingkat tiga dan merebak ke bahagian bumbung,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, api berjaya dikawal pada pukul 3.40 petang dengan kemusnahan dianggarkan 70 peratus.
“Tindakan kerja overhaul dilakukan bagi memastikan tidak berlaku kemerebakan api,” ujarnya.
Tambahnya, anggaran kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE