PAPAR – Menteri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali menyatakan pihaknya sedang giat mengumpul maklumat terperinci berkaitan kartel padi serta beras di seluruh negara.
Armizan berkata, siasatan yang akan dirangka adalah selepas memperoleh data daripada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara.
“Memang ada (diterima) aduan (berkaitan kartel padi dan beras). Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) juga sudah mengambil tindakan atas aduan tersebut dan kita sedang mendapatkan maklumat itu.
“Oleh itu, kita sedang mendapatkan maklumat daripada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Dengan adanya maklumat berkenaan, kita akan merangka bentuk siasatan yang akan dilaksanakan,” katanya.
Armizan berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang 2024 bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat hari ini.
Terdahulu, KPKM menegaskan bakal mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktivit kartel padi dan beras di negara ini. – KOSMO! ONLINE