GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menyita empat motosikal serta mengeluarkan 60 keping saman atas pelbagai kesalahan ke atas penunggang motosikal menerusi Operasi Bersepadu di Lorong Motosikal Jambatan Pulau Pinang, awal pagi tadi.
Polis Pulau Pinang berkata, operasi Bersepadu di Lorong Motosikal Jambatan Pulau Pinang itu dilaksanakan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bermula dari pukul 9 malam hingga pukul 1 pagi.
“Hasil operasi tersebut, JSPT IPK Pulau Pinang telah berjaya menyita empat motosikal di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta mengeluarkan sebanyak 60 keping saman atas pelbagai kesalahan ke atas penunggang motosikal,” katanya di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, pihak JPJ telah mengeluarkan sebanyak 68 keping saman dan 18 notis pemeriksaan teknikal kepada penunggang motosikal.
“Jabatan Alam Sekitar telah mengeluarkan Notis di bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Ujian Bunyi) terhadap lapan buah kenderaan,” katanya.
Tambahnya, operasi itu bertujuan untuk mengesan pesalah lalulintas selain membanteras aktiviti samseng jalanan.
“JSPT Pulau Pinang akan sentiasa komited melaksanakan operasi sebegini secara berterusan,” katanya. – KOSMO! ONLINE