BALIK PULAU – Wanita yang dipercayai menyimbah air panas ke arah pemuda orang kelainan upaya (OKU) Sindrom Down, semalam dikatakan sering mengganggu jiran tetangga termasuk membuat bising sehingga tengah malam.
Dakwa seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Chandra, 40-an berkata, wanita yang tinggal di flat berkenaan sudah banyak kali mencetuskan pelbagai perkara sehingga mengganggu ketenteraman jiran yang tinggal berdekatan.
“Ini bukan perbuatan pertama kali, selalu dia dengar radio kuat-kuat dan ketuk-ketuk sampai tengah malam sehingga kami tak dapat tidur.
“Kami sudah tak tahan dengan sikap dia yang seolah-olah macam seronok bila kena tegur. Mungkin dia ada masalah mental,” katanya kepada Kosmo! di sini, sebentar tadi.
Sementara itu, Pengarah Hospital Pulau Pinang, Dr. Goh Hin Kwang berkata, pihaknya menjangkakan tempoh untuk mangsa tersebut sembuh adalah kira-kira dua minggu.
“Peratusan melecur pada badan pesakit adalah lebih kurang enam peratus. Kita akan pantau dengan rapi dan buat yang terbaik.
“Dari awal, kita tengok daripada segi klinikal besar kemungkinan kecederaan itu disebabkan air panas. Tetapi, untuk kita tahu secara pasti sama ada ia asid sememangnya perlu sedikit masa lagi.
“Kita jangka pemantauan perlu dilakukan sekurangnya-kurangnya seminggu untuk melihat perkembangan luka melecur. Sekiranya semua berjalan lancar, mungkin dalam seminggu dua pesakit sudah boleh dibenarkan pulang,” katannya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan wanita yang disyaki bertindak menyimbah air panas ke arah pemuda OKU berusia 33 tahun di dalam lif sebuah pangsapuri di Bayan Lepas di sini telah ditahan reman selama empat, bermula hari ini.
Perintah tahanan reman ke atas wanita berusia 39 itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan. -KOSMO! ONLINE