PETALING JAYA – Pelaksanaan terbitan hak bersama waran percuma yang dijalankan oleh Kumpulan Iconic Worldwide Berhad (Iconic Worldwide) telah terlebih langgan.
Saham hak dan waran itu dijadualkan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 25 April ini.
Modal yang diraih daripada pelaksanaan itu akan digunakan untuk mempercepatkan pengembangan Kumpulan melalui pemerolehan aset bank tanah strategik dan pelaburan modal kerja , selain menambah baik tahap penggearan dan kedudukan kewangannya.
Pengarah Urusan Iconic Worldwide, James Tan Cho Chia berkata, situasi terlebih langganan ini menunjukkan keyakinan yang tinggi dalam halatuju masa depan dan arah strategik syarikat.
“Pemerolehan aset tanah ini menandakan langkah penting dalam mengembangkan portfolio hartanah kami dan akan membolehkan kami mencipta potensinya.
“Melalui penyerahan pelan pembangunan baharu, kami ingin menjana nilai sepenuhnya aset ini dan dengan kedudukan kewangan yang lebih baik dan keupayaan kewangan untuk merangsang pertumbuhan, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menjana nilai yang lebih besar kepada pemegang saham kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Cho Chia menerangkan, daripada RM95.6 juta modal kasar yang diperoleh, sehingga RM39.8 juta atau 41.6 peratus daripada hasil ini akan digunakan untuk mengambilalih Goldenluck Development Sdn Bhd (Goldenluck).
Dinilai RM45.7 juta oleh Henry Butcher Malaysia (Pulau Pinang) Sdn Bhd, bidang tanah Goldenluck terletak bersebelahan dengan pembangunan kediaman dikenali sebagai Green Garden dan juga terletak di sepanjang Jalan Paya Terubong di Paya Terubong, Pulau Pinang.
Sementara itu, hasil selebihnya iaitu sebanyak 39.4 peratus akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank, 17.4 peratus untuk modal kerja dan 1.6 peratus untuk perbelanjaan yang berkaitan dengan pelaksanaan korporat ini.
“Ini akan meningkatkan kedudukan kewangan Kumpulan dan keupayaannya untuk merebut peluang pengembangan dengan pantas apabila ia muncul pada masa hadapan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE