LENGGONG – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Perak di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Yang turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan agensi negeri.
Sejurus berangkat tiba sekitar pukul 12 tengah hari, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta isteri, Datin Seri Aezer Zubin ke meja santapan bagi menikmati juadah yang dihidangkan.
Pada majlis tersebut, lebih 10,000 pengunjung berbilang kaum hadir dengan kira-kira 20 reruai menyediakan pelbagai juadah termasuk lemang dan rendang, cucur kucai kuah kacang, apam lenggang, ayam goreng, bihun sup, cendol, laksa, lai chi kang, mee goreng dan kuetiau goreng.
Sebelum berangkat pulang, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan meluangkan masa beramah-mesra bersama pengunjung dan melawat reruai di pekarangan dewan.
Sementara itu, Saarani dalam sembah ucapannya berkata, sambutan Aidilfitri membuktikan bahawa ketibaan Syawal tidak sekadar sambutan keagamaan, sebaliknya adalah peristiwa menyatukan pelbagai budaya dan tradisi rakyat berbilang kaum dan agama. – KOSMO! ONLINE