fbpx

Kerajaan negeri ‘kedekut’ melabur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH (tengah) berharap kerajaan negeri turut mengambil langkah proaktif dalam pembangunan sukan negara untuk menyediakan infrastruktur. - FB KBS MALAYSIA

BAJET terhad untuk pelaburan sektor sukan di setiap negeri menyebabkan pembangunan sukan di negara ini terbantut sekali gus berdepan masalah mengesan bakat-bakat baharu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mendedahkan perkara tersebut kerana ada beberapa negeri ‘kedekut’ untuk mengeluarkan bajet yang tinggi kepada sektor sukan hingga mencetuskan masalah terutama kepada program pembangunan.

Katanya, masalah itu dapat dikesan apabila ada acara sukan terjun terpaksa digugurkan sewaktu temasya Sukan Malaysia (Sukma) kerana tidak cukup penyertaan setiap negeri-negeri untuk menghantar wakil.

Justeru, Hannah meminta Menteri Besar lebih bertanggungjawab supaya tidak menganaktirikan portfolio sukan di Malaysia.

“Sebab itu untuk satu-satu sukan itu berjaya, bukan saja perlukan penglibatan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk masuk ke Program Podium atau Elit, namun peringkat akar umbi perlukan penglibatan kerajaan negeri.

“Jadi, saya minta Menteri Besar, dalam perancangan bajet mereka, pastikan portfolio (sukan) jangan kita anak tirikan. Kalau kita lihat, ada kes di mana negeri-negeri kecil bajet (sukan) mereka tak sampai RM500,000 pun.

“Bagaimana nak buat pembangunan atlet dan pembangunan sukan jika mereka (kerajaan negeri) tidak melabur,” katanya pada sidang media pengumuman syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan semalam di Putrajaya.

Hannah berkata, kadangkala pihaknya sukar untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri terutamnya dalam soal pembangunan fasiliti sukan yang dilihat cukup penting.

“Contohnya, bila kita hendak bantu bangunkan fasiliti kolam renang yang memerlukan penglibatan kerajaan negeri, mereka kata jangan bina kerana kos selenggara mahal.

“Isu seperti inilah yang kami hadapi. Jadi, walaupun sukan itu penting, mereka tak nak terima. Mereka (kerajaan negeri) akan lihat dan mempromosi sukan yang senang dijaga.

“Satu lagi contoh geran naik taraf padang untuk liga, ada juga negeri yang tak terima kerana mungkin masanya tak sesuai, tapi saya lihat negeri kena proaktif.

“Program skrin besar pula, kita minta negeri beli skrin besar kerana ia adalah salah satu capaian kepada sukan, tapi itu pun ada negeri yang minta kita bagi duit beli skrin besar,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI