GOMBAK – Seorang wanita bersama bayi lelakinya maut manakala rakan pemboncengnya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam nahas langgar lari di kilometer 10.2 Jalan Batu Caves, di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8.13 malam itu, mangsa berusia 29 tahun dan anaknya berusia dua tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Abang Kaderi Abang Wasli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 10.32 malam.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Batu Caves menghala ke Selayang.
“Hasil siasatan mendapati motosikal mangsa disyaki bergesel dengan sebuah kenderaan lain. Namun, jenis dan nombor pendaftaran kenderaan itu tidak dikenalpasti.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya berusia 23 tahun mengalami kecederaan. Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Abang Kaderi berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Amira Abu Hassan di talian 0196026596. – KOSMO! ONLINE.