fbpx

FAMA Perlis tingkat bekalan beras putih tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Anzara (kanan) bersama Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Dr. Mohd Sofee Razak (tiga dari kanan) memantau intervensi BPT di Agrobazaar Rakyat Kampung Nesam, Kangar baru-baru ini.

KANGAR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis mengambil inisiatif menambah penerimaan beras putih tempatan (BPT) daripada 3,000 kampit kepada 5,000 kampit seminggu.

Pengarahnya, Mohd Anzara Azizan berkata, usaha itu merupakan langkah Pelan Intervensi BPT bagi menjamin ketersediaan bekalan BPT berikutan permintaan yang agak tinggi di negeri itu.

Katanya, pihaknya menerima 3,000 kampit BPT di Pusat Operasi FAMA negeri secara mingguan bermula September tahun lalu dan jumlahnya telah ditingkatkan kepada 5,000 kampit seminggu sejak tiga minggu lalu.

“Pelan Intervensi BPT ini adalah untuk menjamin bekalan BPT yang dilaporkan berlaku kekurangan bekalan dalam negara. Pelan ini juga untuk memastikan ketersedian bekalan BPT di Pusat Operasi FAMA dan outlet-outlet pemasaran FAMA,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, FAMA negeri telah menerima sebanyak 578.08 metrik tan atau 57,808 kampit BPT sehingga 17 April lalu sejak bermula intervensi tersebut pada September tahun lepas.

“Agihan BPT ini dibuat setiap minggu menerusi 28 outlet pemasaran FAMA seperti Agrobazaar, pasar tani kekal dan pasar tani,” ujarnya.

Tambahnya, selain agihan ke outlet pemasaran, FAMA turut mengadakan jualan terus kepada pengguna melalui Jualan Agro Madani yang telah dianjurkan sebanyak 91 kali di lokasi terpilih seluruh negeri.

“Mana-mana pengguna dan rakyat Perlis yang menghadapi masalah bekalan BPT boleh terus ke outlet-outlet FAMA yang berdekatan dan program Jualan Agro Madani yang dianjurkan oleh FAMA pada setiap minggu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI