SHAH ALAM – Liku kehidupan penyanyi atau komposer, Yasin Sulaiman yang berdepan pelbagai dugaan termasuk pertuduhan berhubung dadah akan dibukukannya.
Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 49, mendedahkan, dia sedang menyiapkan perjalanan hidupnya sebagai tatapan masyarakat secara umumnya.
Bagaimanapun, dia yang merupakan juara Anugerah Lagu ke-16 menerusi lagu Mimpi Laila tidak dapat menyatakan tarikh terbitan buku tersebut dengan bergantung kepada tarikh pembebasan daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
“Saya ada tulis buku, baharu nak siap. Ini sepanjang saya duduk penjara dan di hospital bahagia.
“Nama buku itu daripada pentas juara ke penjara. Nanti keluar saya terbitkan,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah tinggi di sini hari ini.
Terdahulu, Yasin hadir bagi prosiding rayuan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang melepas dan membebaskannya daripada tiga pertuduhan dadah.
Bagaimanapun, Yasin diarahkan ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.
Ketika ditanya mengenai perkembangan tahap kesihatannya bagi penyakit kecelaruan bipolar, Yasin memaklumkan semuanya berjalan dengan baik selepas enam bulan menjalani pemeriksaan di rehabilitasi di Hospital Bahagia itu.
Malah apabila ditanya keadaan badannya yang makin berisi, dia menyatakan mendapat penjagaan sebaiknya.
“Ya, saya cukup makan,” ujarnya berseloroh. -KOSMO!ONLINE