TAIPEI – Seorang wanita di Taiwan meninggal dunia selepas melompat keluar dari kereta yang bergerak ketika bertengkar dengan teman lelakinya, lapor portal berita AsiaOne semalam.
Kejadian berlaku di Bandar Taoyuan, Isnin lalu ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.
Wanita berusia 49 tahun dan dikenali sebagai Zeng itu bergaduh dengan teman lelakinya yang berumur 47 tahun, Song di dalam kereta selepas berkunjung ke rumah seorang rakan.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan Zeng berguling sejauh beberapa meter di atas jalan sebelum berhenti.
Siasatan Jabatan Polis Bandar Taoyuan mendapati Song terus memandu sejauh kira-kira 200 meter sebelum memberhentikan kereta untuk membantu mangsa.
Dia membawa wanita itu ke hospital, namun mangsa meninggal dunia tiga jam kemudian.
Song yang diberkas, diperintahkan untuk membayar ikat jamin sebanyak T$10,000 (RM1,470). – AGENSI