fbpx

UCL: Arsenal masih belum layak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARSENAL gagal meneruskan impian mereka mara lebih jauh selepas terkandas di suku akhir ekoran kekalahan kepada Bayern awal pagi semalam. - AFP

MUNICH – Arsenal berdepan dengan realiti sebenar apabila ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL) selepas tewas 2-3 secara agregat kepada Bayern Munich di suku akhir.

Pada aksi timbal balik di Allianz Arena awal pagi semalam, The Gunners bermula dengan langkah positif apabila beberapa kali mengancam pintu gol tuan rumah sebelum dikejutkan dengan gol kemenangan Bayern di minit ke-63 menerusi Joshua Kimmich.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka selain menganggap skuad kendaliannya masih belum layak untuk bersaing merebut trofi paling berprestij itu.

“Semua pemain sangat kecewa dan sedih dalam bilik persalinan. Saya tidak ada kata-kata yang tepat untuk membangkitkan semangat mereka pada ketika ini, hanya berharap kami boleh mengharunginya dengan tenang.

“Saya sedar kami berdepan sebuah pasukan yang memiliki pengalaman cukup banyak dalam pertandingan besar seperti ini. Hanya sedikit kesilapan ketika bertahan meranapkan harapan kami untuk ke separuh akhir.

“Kami tidak beraksi dalam Liga Juara-Juara selama tujuh tahun dan ini adalah kali pertama Arsenal kembali. Memang kami mahu ke pusingan seterusnya, namun mungkin kami perlu menunggu masa lebih lama,” katanya.

Sebaik tersingkir daripada UCL, Arsenal kini berpotensi untuk menamatkan kempen 2023/24 dengan tangan kosong apabila mereka turut ketinggalan dua mata kepada Manchester City dalam perebutan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL).

Justeru, Arteta merayu peminat-peminat The Gunners terus memberikan sokongan kepada pasukan, lebih-lebih lagi barisan pemain berada dalam keadaan kecewa selepas gagal melangkah ke separuh akhir.

“Rasa sakit dan kecewa ini bukannya mudah untuk diubati tetapi saya beri jaminan pemain-pemain akan mengalihkan sepenuh fokus terhadap aksi Liga Perdana menentang Wolves hujung minggu ini.

“Kami masih ada peluang untuk merebut kejuaraan (Liga Perdana). Apa yang kami perlukan sekarang adalah sokongan daripada peminat untuk mengharungi tempoh sukar ini,” ujar pengendali dari Sepanyol itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI