PETALING JAYA – Trend percutian, perjalanan domestik dan antarabangsa serta tempahan di hotel-hotel sepanjang cuti hari raya bermula 9 hingga 13 April lalu telah mencatat pertumbuhan luar biasa di luar jangka dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini di seluruh negara.
Analisis daripada data Trip.com dalam tempoh berkenaanmenunjukkan, tempahan hotel domestik Trip.com untuk Kuala Lumpur meningkat sebanyak 57 peratus dan Pulau Pinang pula mengalami kenaikan sebanyak 24 peratus, manakala Kota Kinabalu menyaksikan lonjakan sebanyak 62 peratus.
Tempahan hotel antarabangsa ke Malaysia dari Singapura meningkat sebanyak 69 peratus, manakala tempahan hotel dari Indonesia juga melonjak sebanyak 316 peratus.
Pengurus Besar Trip.com Malaysia, Stephane Thong berkata, prestasi tersebut bukan sahaja mencerminkan daya tahan industri pelancongan tetapi juga menunjukkan permintaan yang semakin meningkat oleh pengguna untuk keluar melancong.
“Kami tetap komited untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar kepada pelanggan dan akan terus berusaha menyediakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh pelancong,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Mengulas lanjut, tempahan penerbangan domestik ke Kuala Lumpur menyaksikan lonjakan sehingga 99 peratus berbanding tempoh hari raya tahun lepas.
Tempahan penerbangan domestik ke Pulau Pinang melonjak dengan ketara sebanyak 131 peratus, manakala Kota Kinabalu merekodkan peningkatan sebanyak 81 peratus.
“Sambungan penerbangan antarabangsa juga menyaksikan pertumbuhan luar biasa dengan peningkatan 94 peratus untuk penerbangan ke Malaysia dari Singapura, manakala naik 33 kali ganda bagi tempahan penerbangan dari Indonesia ke Malaysia,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE