Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, ramai antara kita tidak melepaskan peluang menikmati pelbagai juadah enak.
Kita bukan hanya boleh merasai juadah itu pada hari raya, malah boleh menikmatinya di rumah-rumah terbuka yang dianjurkan sepanjang Syawal ini.
Seperti diketahui umum, makanan, kudapan dan minuman yang disajikan ketika musim perayaan biasanya mengandungi lemak, gula, garam serta kalori yang tinggi.
Dalam keterujaan menikmati pelbagai hidangan lazat itu, ramai tidak menyedari bahawa makan berlebihan tanpa kawalan akan mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan dan tubuh badan.
Pengurus Kanan Dietetik di Pusat Perubatan Sunway, Celeste Lau berkata, terlebih makan khususnya sepanjang tempoh perayaan akan menyebabkan berat badan seseorang naik secara mendadak, selain mendedahkan mereka kepada risiko penyakit lain.
Menurutnya, tidak mustahil jika berat badan seseorang individu naik sebanyak tiga kilogram dalam tempoh sebulan jika mereka menghadiri banyak aktiviti sosial seperti rumah terbuka.
Ini kerana, mereka akan mengambil banyak sajian utama atau makanan berat termasuk pelbagai kudapan serta minuman manis.
“Jadi, mereka akan terdedah kepada risiko diserang penyakit jantung atau mati mengejut jika terlebih makan dan minum, kurang rehat serta tidak cukup tidur.
“Walaupun risiko tersebut rendah atau jarang, namun ia mungkin akan berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, Celeste menjelaskan, bagi individu yang mempunyai penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes, kolesterol tinggi serta penyakit buah pinggang kronik, mereka perlu mengawal pengambilan makanan serta menjaga gaya hidup semasa musim perayaan.
Walaupun sambutan perayaan hanya sekali-sekala, namun sekiranya diet dan gaya hidup tidak terjaga, ia mungkin akan mengganggu atau mensia-siakan usaha kawalan penyakit yang dilakukan sebelum ini.
“Bagi mereka yang tidak berpenyakit pula, sekiranya tidak menjaga pemakanan, kurang rehat dan tidak cukup tidur, masalah kesihatan yang biasa dialami semasa musim perayaan adalah seperti peningkatan berat badan.
“Masalah lain yang sering dialami adalah gastrousus seperti perut kembung, sembelit, sakit kepala, keracunan makanan, demam panas atau jangkitan kuman.
“Setiap individu disaran untuk mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat kerana membuat keputusan dan pilihan wajar mampu menjamin kesejahteraan serta kesihatan badan untuk jangka masa panjang.
“Tabiat adalah rutin atau perkara yang sering kita lakukan, manakala gaya hidup atau lifestyle merupakan cara dipilih untuk menjalani hidup,” jelasnya.
Tambah Celeste, kita boleh menjadikan tabiat pemakanan sebagai gaya hidup.
Misalnya, pilih sajian ringan untuk sarapan, makanan berat sikit pada tengah hari dan makan sedikit di sebelah malam kerana pemilihan makanan yang betul merupakan aspek penting dalam penjagaan kesihatan.
Oleh itu, orang ramai dinasihati supaya mengawal dan mengurangkan pengambilan makanan serta minuman yang mempunyai kandungan gula tinggi.
Ini kerana, kebanyakan hidangan yang disajikan dalam tempoh perayaan adalah manis.
Kurangkan juga makanan seperti biskut, kek, coklat, gula-gula serta minuman manis, lebihkan pengambilan makanan segar dan banyakkan minum air kosong.
Apa yang penting, pastikan makanan yang diambil adalah seimbang, sederhana dan pelbagai.
Misalnya, amal konsep suku-suku separuh atau Pinggan Sihat Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan supaya makanan dipilih adalah seimbang mengikut kuantiti sewajarnya.
Amalan pemakanan sihat mengikut konsep suku-suku separuh adalah seimbang yang terdiri daripada tiga kumpulan makanan utama yang membekalkan nutrien makro serta mikro.
Celeste menjelaskan, Hari Raya Aidilfitri dirai dengan penuh ceria dan gembira. Oleh itu, ia penting untuk mengamalkan gaya pemakanan dan hidup sihat supaya tidak menjejaskan kesihatan semasa dan selepas sambutan perayaan.
“Selain mendisiplinkan diri untuk mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat, kita juga boleh menggalakkan atau sediakan makanan serta minuman seimbang buat tetamu.
“Makan mengikut keperluan dan jangan terlalu ikut nafsu makan, sentiasa ingat bahawa seimbang, sederhana dan pelbagai adalah kunci utama kepada kesihatan,” katanya.