KULIM – Seorang pelajar maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tembok sebuah pasaraya dalam satu kejadian kemalangan di Taman Serai Wangi di Padang Serai, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.24 tengah hari itu, dua pelajar berusia 18 tahun yang berasal dari Kuala Muda, dekat sini mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, sementara rakannya yang membonceng cedera parah dan dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut
Katanya, pihak polis menerima laporan berkaitan kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal jenis Honda Vario yang dinaiki dua remaja terbabit kira-kira pukul 12.24 tengah hari.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati arah pergerakan motosikal yang dinaiki dua remaja itu dari arah jalan Serai Wangi 5/10 menghala ke arah Jalan Serai Wangi 10.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sampai di tempat kejadian motosikal mangsa telah hilang kawalan dan terlanggar tembok longkang lalu terus terlanggar dinding sebuah pasaraya..
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, akibat mengalami kecederaan parah di kepala. Manakala rakanya yang membonceng cedera di bahagian kepala, bahu dan kaki menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kulim,” katanya ketika di hubungi,hari ini.
Menurut Mohd Azizul, hasil siasatan punca kemalangan jakan raya itu berpunca daripada penunggang motosikal telah hilang kawalan dan terbabas lalu terlanggar tembok longkang dan dinding sebuah pasar raya.
Menurutnya lagi, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum di tuntut oleh ahli keluarganya. – KOSMO! ONLINE