JOHOR BAHRU – Seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura mendakwa telah diperas ugut dua anggota polis di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini ketika dalam perjalanan pulang dari republik berkenaan.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ng, 50, memberitahu, kejadian itu berlaku pada pukul 8.40 malam, 4 Januari lalu.
Menurutnya, ketika itu dia bimbang untuk membuat laporan polis kerana takut diapa-apakan, namun hari ini dia memberanikan diri setelah mendengar nasihat dibuat Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berhubung salah laku anggota.
“Pada hari kejadian, saya dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru namun telah ditahan dua individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis, mereka menunjukkan kad polis sebelum meminta telefon bimbit saya untuk diperiksa.
“Mereka membuka aplikasi X di telefon saya sebelum mendakwa saya memiliki bahan lucah dan mengatakan itu adalah satu kesalahan. Mereka kemudian membawa saya ke sebuah bilik lain yang turut mempunyai lambang polis di dinding.
“Mereka kemudian memberi dua pilihan kepada saya, sama ada mahu dibawa ke Balai Polis di Larkin atau memberi mereka wang sebanyak RM1,000,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.
Ng menambah, dia memaklumkan kepada anggota berkenaan bahawa dia hanya mempunyai wang tunai sebanyak RM200, namun salah seorang daripada mereka memberitahu jumlah itu tidak mencukupi untuk diagihkan kepada seramai lapan orang, yang merupakan rakan mereka.
“Mereka kemudian menemani saya menuju ke sebuah mesin ATM berhampiran untuk mengeluarkan duit. Setelah wang itu dikeluarkan, mereka membawa saya ke sebuah bilik air, sebelum wang tersebut diberikan melalui ruangan atas tandas yang terbuka.
“Saya hanya nampak tangan sahaja, tidak nampak muka orang yang menerima duit berkenaan,” katanya yang kesal dengan perkara yang berlaku kepada dirinya itu.
Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li yang mengiringi mangsa membuat laporan polis berkenaan berkata, pihaknya berharap tindakan tegas dapat diambil berhubung perkara tersebut kerana ia bukan pertama kali berlaku.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Lim Jit Huey mengesahkan pihaknya telah menerima laporan mangsa berhubung kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE