KUANTAN – Peniaga di Pantai Pelindung, Beserah, di sini bakal gulung tikar apabila projek penyuraian banjir kilat di perkampungan Pelindung Pantai masih belum disiapkan lagi.
Projek bernilai RM5 juta bagi mengatasi masalah banjir kilat bermula pada Jun 2023 itu masih tergendala meskipun ia dijadualkan siap pada Februari lalu.
Seorang peniaga kedai makan, Mohd. Ramli Abdul Manaf, 63, berkata, dia kehilangan lebih 50 peratus pelanggan sejak projek itu dilaksanakan apabila laluan alternatif untuk masuk ke Pantai Pelindung menjadi lebih jauh berbanding jalan asal.
“Disebabkan itu, ramai pelanggan yang keliru dan mereka tidak lagi datang ke sini sehingga menjejaskan perniagaan kami.
“Kalau dulu, pukul 11 malam pun ada lagi pengunjung datang untuk menjamu selera di sini tetapi sekarang pukul 8 malam pun sudah mula sunyi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, disebabkan hasil jualan yang semakin berkurang, dua pekerjanya kini terpaksa diberhentikan bagi mengelakkan kerugian malah dia terpaksa menggunakan duit tabungan bagi menampung operasi perniagaan.
“Sekarang ini duit tabungan juga sudah habis untuk bayar sewa kedai, itu pun masih ada lagi tunggakan sewa.
“Bil elektrik pula sudah tertunggak lima bulan dan kalau lambat lagi (projek) siap, memang gulung tikar jawabnya,” katanya.
Seorang lagi pengusaha kedai makan, Mohd. Fairuz Ahamed Kamal, 39, berkata, masalahnya lebih besar apabila kedainya langsung tidak boleh beroperasi sejak projek tersebut dimulakan.
“Ini kerana laluan utama kerja naik taraf longkang itu betul-betul di hadapan kedai saya.
“Macam mana hendak buka kedai, memang tidak boleh buka. Kedai ini saya sewa dengan kawan, dia jual minuman dan saya pula jual pelbagai masakan panas dan barat.
“Termasuk saya, ada lapan pekerja di sini, semuanya tidak boleh cari makan, hilang punca pendapatan sejak hujung Disember tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, dia akan berhubung dengan pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bagi mendapatkan penjelasan berkaitan projek berkenaan. -KOSMO! ONLINE