PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan pengarah filem kontroversi Mentega Terbang, Mohd. Khairianwar Jailani mendapat kebenaran merayu bagi perintah larangan bersuara.
Berikutan itu Mohd. Khairianwar, 32, selaku perayu kekal dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan pertuduhan jenayah yang dihadapinya.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas berpuas hati permohonan yang dikemukakan perayu (Mohd. Kharianwar) tiada merit.
Ketika membacakan penghakimannya, Hakim Ahmad Zaidi berkata tiga persoalan undang-undang yang dikemukakan merupakan persoalan yang pernah dibangkitkan dan diputuskan sebelum ini.
“Pemohon gagal menunjukkan majistret dan hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika menggunakan budi bicara sewaktu membenarkan perintah larangan bersuara dikenakan terhadapnya.
“Mahkamah juga berpuas hati larangan itu terletak di bawah budi bicara majistret berkenaan manakala perintah itu hanya melibatkan kes yang sedang dihadapinya,” ujarnya.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin.
Justeru dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, keputusan Mahkamah Tinggi pada 24 Januari lalu yang mengekalkan perintah larangan bersuara terhadap pengarah berkenaan sehingga kes itu selesai tidak berubah.
Sebelum ini, dalam permohonannya, Mohd. Khairianwar memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakannya untuk mengetepikan perintah larangan bersuara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret pada 17 Januari lalu.
Hakim K. Muniandy mengekalkan larangan itu selepas mengambil kira sifat pertuduhan yang dihadapinya selain bagi memelihara kepentingan perbicaraan yang akan didengar kelak. – KOSMO! ONLINE