PETALING JAYA – Tindakan sebuah Perodua Myvi menghalang laluan ambulans telah mendapat kecaman orang ramai.
Menerusi satu hantaran di Facebook Info Berita Semasa, kejadian itu berlaku semasa ambulans tersebut sedang membawa seorang pesakit baru-baru ini.
“Ayah kepada kawan saya sakit, hendak dibawa ke Hospital Pantai, Pulau Pinang dari Perak.
“Sedang dalam perjalanan di Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Pulau Pinang ada Myvi ini menghalang ambulans dan tidak mahu bagi jalan kepada ambulans,” tulis hantaran itu.
Pengirim tersebut turut berkongsi gambar seorang pesakit yang berada di dalam ambulans berkenaan.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan pemandu kereta tersebut dan meminta pengirim untuk melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa.
“Nombor plat kereta dah ada, pergi buat repot dekat JPJ senang,” kata Ahmad.
“Teruk betul ambulans dah bunyi siren berilah laluan,” kata Rahna.
“Nanti dah kena tahan terus cakap saya pekak,” kata Mus.
“Harap digantung lesen orang begini. Jangan berlembut sangat, bila saman mereka mampu bayar,” kata Alang. – KOSMO! ONLINE