fbpx

Letusan Gunung Ruang: Kawasan udara utara Sabah paling terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar GUNUNG Ruang menghamburkan lahar panas dan asap di Pulau Sangihe. - Foto AFP

PETALING JAYA – Kejadian letusan Gunung Berapi Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia sejak Rabu lalu telah membentuk awan debu yang menjejaskan kawasan udara di utara Sabah ketika ini.

Pakar Meteorologi, Prof Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, situasi tersebut memberi risiko kepada operasi penerbangan yang melalui kawasan udara sekitar utara Sabah.

Bagaimanapun katanya, melihat kepada arah angin yang berada pada tahap 250 milibar (mb), ruang udara di Semenanjung tidak terjejas oleh asap dan habuk kotor hasil dari letusan Gunung Ruang.

Katanya, untuk melakukan penerbangan ke Sabah dan Sarawak pada masa ini, adalah penting untuk pihak terlibat seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memantau keadaan semasa Gunung berapi Ruang serta peka dengan ketinggian habuk kotor dari letusan tersebut.

“Masa ini ketumpatan debu adalah rendah, jadi kena sentiasa pantau aktiviti Gunung Berapi Ruang dan juga jangkaan habuk untuk meneka masa yang baik untuk (penerbangan) ke Sarawak dan Sabah.

“Jadi risikonya hanyalah kepada penerbangan kerana di aras itu debu dari Gunung Berapi Ruang dibawa oleh angin ke arag utara Sabah.

“Kena pantau keadaan debu dari letusan di aras jalan terbang pesawat supaya dapat mengelak dari aras ketinggian debu tersebut,” katanya kepada Kosmo!.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, debu yang terhasil daripada letusan gunung berapi boleh dibawa angin pada jarak beribu kilometer (km) jauhnya bergantung kepada saiz partikel.

“Debu gunung berapi selalunya halus dan ringan berbanding debu biasa dan boleh berada lama di udara dan dibawa jauh sebelum jatuh ke bumi bergantung kepada keadaan cuaca seperti tiupan angin, arah angin, hujan termasuk saiz partikel,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, debu yang terhasil dari insiden letusan Gunung Ruang itu mungkin mempunyai unsur beracun dan boleh mengganggu pernafasan.

“Debu gunung berapi itu mungkin boleh mengganggu sistem komunikasi, sistem kapal terbang dan enjin disamping mengurangkan penglihatan. Debu halus juga beri kesan kepada enjin jet,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah menjelaskan debu gunung berapi boleh kekal di atmosfera untuk tempoh dari beberapa hari sehingga
beberapa minggu.

“Ia bergantung kepada kekuatan letusan gunung berapi terlibat, paras ketinggian debu gunung berapi dan keadaan cuaca terkini.

“Faktor-faktor utama yang mempengaruhi penolakan debu gunung berapi adalah arah dan kelajuan angin pada paras debu gunung berapi dan aktiviti hujan setempat,” jelasnya.

Terdahulu, Muhammad Helmi berkata, awan debu yang terhasil akibat letusan Gunung Ruang tidak menjejaskan kualiti udara permukaan di Sabah dan Sarawak berdasarkan pencerapan indeks pencemaran udara (IPU).

Katanya, ketinggian letusan yang dicerap adalah sehingga 55,000 kaki atau kira-kira 16.76 kilometer.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengeluarkan Maklumat Keselamatan berkenaan Amaran Bahaya Debu Gunung Berapi di Sulawesi Utara yang memberi impak kepada operasi penerbangan di Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Norazman Mahmud, kesan letusan itu menyebabkan terbentuknya awan debu yang bergerak menuju ke FIR Kota Kinabalu yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pesawat di ruang udara berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI